Klik Aja Buat Nyari Apapun

Banner

Silahkan Bergabung

Senin, 07 Maret 2011

Bongkar keajaiban sedekah

Oleh ZUARIDA MOHYIN
AMALAN bersedekah seringkali dianggap sebagai hak individu. Bermaksud, sesiapa yang hendak bersedekah, ia dialu-alukan. Bagi mereka yang tidak mahu, tidak mengapa dan tiada paksaan.
Sebenarnya, persepsi sebegini timbul kerana ramai daripada kita tidak memahami apa itu sedekah. Padahal, seandainya kita menyelami dan mendalami konsep sedekah ini secara bersungguh-sungguh, ia mampu membuka dan menjernihkan hati dan minda kita.
Hakikatnya, dengan bersedekah ia mengandungi kekuatan ataupun keajaiban yang dahsyat dalam menarik keuntungan, kekayaan dan kejayaan, bukan hanya dalam konteks kehidupan di dunia, malah dalam konteks kehidupan di akhirat juga.
Demikian yang cuba dikupas dalam buku terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., Ajaibnya Sedekah Semakin Bersedekah Semakin Kaya.
Selain menjelaskan perihal jutaan keajaiban, mukjizat, misteri dan rahsia keagungan di sebalik amalan bersedekah, penulisnya, Muhammad Muhyidin turut membicarakan mengenai hubung kait antara sedekah dan rezeki dalam satu rumusan matematik sedekah.
Pada bab akhir, juga diterangkan mengenai mukjizat sedekah dalam menghindari penyakit dan memanjangkan usia.
Buku ini perlu menjadi koleksi peribadi serta hadiah buat orang tersayang, apatah lagi menyedari bahawa orang yang bersedekah dengan bersembunyi hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya merupakan antara satu daripada tujuh golongan orang yang mendapat naungan Allah pada hari akhirat.
Salah satu bab yang menarik diterokai ia kupasan penulis mengenai hukum ekonomi dalam hal rezeki. Seterusnya, bagaimana hukum ekonomi menjelaskan keajaiban sedekah?
Mengikut teori ekonomi mana pun, rezeki itu diperoleh hanya dengan bekerja dan berusaha. Itulah juga syarat yang dipegang oleh teori ekonomi klasik dan moden.
Konsep ekonomi bersifat sekular dan duniawi sementara konsep sedekah pula bersifat spiritual. Ada sumber yang berbeza ketara di sini. Apa lagi, sekiranya dilihat daripada sudut amalan ekonomi hari ini.
Diakui ataupun tidak, teori ekonomi yang kita ketahui adalah teori ekonomi yang berprinsip atau berparadigma matematik. Kebenaran ekonomi adalah kebenaran matematik iaitu 1+1>2 dan 1-1>0.
Oleh kerana ekonomi hanya melihat pada fakta dengan akal yang rasional dam tidak melihat aspek kerohanian sesuatu perkara, maka ekonomi tidak berupaya mencari kebenaran dalam konsep sedekah dan rezeki. Lantas ekonomi menyimpulkan hal ini adalah mustahil, mengada-ada dan tidak masuk akal.
Namun, perkongsian beberapa kisah di zaman Rasulullah dan para sahabat yang turut disertakan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis mampu membuktikan kedahsyatan sedekah dalam kehidupan umat manusia.
Surah al-Baqarah ayat 261 adalah antara ayat suci al-Quran yang popular dalam membuktikan kelebihan bagi mereka yang bersedekah. Allah berfirman yang bermaksud: Perumpamaan nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir dan daripada setiap butir, tumbuh pula 100 butir benih. Allah melipatgandakan ganjaran bagi sesiapa yang yang dikehendakinya. Allah Maha Luas Kurnianya lagi Maha Mengetahui.


0 komentar:

Posting Komentar